PERTANDINGAN MEREKA CIPTA VIDEO DAKWAH ZAKAT DAPAT SAMBUTAN

Cetak Artikel Ini Cetak Artikel Ini

SHAH ALAM, 20 Februari 2013 – Pertandingan Mereka Cipta Video Dakwah Zakat 2012 anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya menarik 34 penyertaan dari seluruh negara dan penyertaan sekumpulan mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama pertandingan berkenaan. Majlis penyampaian hadiah telah diadakan di Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Selangor.

Penyertaan video bertajuk ‘Biskut Kering’ dari UIAM itu telah menggondol hadiah berupa wang tunai RM5,000 di samping sijil penghargaan. Menurut ketua kumpulan dari UIAM, Mohammad Fahmi Idris, 23, kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk mereka menghasilkan video yang lebih baik pada masa akan datang.

“Ini merupakan cara kami berdakwah. Semoga sumbangan kecil kami ini dapat menggalakkan lebih ramai lagi (umat Islam) untuk menunaikan zakat.”

Tempat kedua pula dimenangi oleh Mohd Bariq Md. Yazi dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang menerima wang tunai sebanyak RM3,000 beserta sijil. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mohamed Khairul Mohamed dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang menerima RM2,000 beserta sijil.

Hadiah saguhati dimenangi oleh Mohamed Khairul Mohamed dari Universiti Multimedia (MMU) dan Ameer Hamzah Mokhtar dari Kolej Poly-Tech MARA, masing-masing menerima wang tunai RM500 beserta sijil.

Pertandingan yang berlangsung dari 1 September hingga 31 Disember 2012 tersebut merupakan inisiatif LZS bagi mempelbagaikan medium dakwah zakat dengan mempelawa orang ramai mengetengahkan idea dan kreativiti melalui penghasilan video. Pertandingan ini turut mendapat kerjasama daripada ejen zakat IPT yang dilantik oleh LZS.

Kesemua penyertaan telah diadili oleh juri awam dan juga juri profesional yang diketuai Pengarah Filem dan Drama tersohor, Rashid Sibir.

Di antara kriteria yang ditetapkan, setiap video mestilah mempunyai unsur-unsur dakwah dan tarbiyyah zakat, dan dihasilkan sama ada dalam bentuk ceramah, animasi dan drama pendek dengan durasi maksimum 5 minit.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Leave a Reply