|

|
DYMM Sultan merasmikan majlis tersebut.
|
SHAH ALAM, 6 September 2008 – Masyarakat Islam di Selangor kini boleh membayar zakat fitrah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS), yang pertama seumpamanya di negara ini. Inisiatif ini dilaksana oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) hasil kerjasama dengan Celcom.
Kemudahan ini hanya terbuka kepada pelanggan pra bayar dan pasca bayar Celcom sahaja dan ianya percuma iaitu tiada sebarang caj bagi setiap sms yang dihantar dan diterima.
Pembayaran zakat fitrah menerusi sistem ini telah mendapat kelulusan daripada Majlis Fatwa Negeri Selangor. Untuk menggunakan perkhidmatan ini, pelanggan Celcom hanya perlu menaip ‘fitrahselangor’ dan hantar ke 21999 diikuti arahan seterusnya. Kadar zakat fitrah di Selangor pada tahun ini telah ditetapkan pada harga RM5.20 seorang.
Majlis pelancarannya disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah, sempena majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini. Pada majlis yang sama seramai 100 orang fakir miskin turut menerima bantuan hari raya daripada LZS.
Dalam majlis yang sama, Worldwide Holdings Berhad turut menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM1,314,047.70 kepada LZS. Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa serta Pegawai kanan kerajaan negeri.
|