|
Zakat pertanian ialah satu zakat yang dikenakan ke
atas makanan asasi yang mengenyangkan ke atas sebuah negeri
yang telah cukup nisab dan haulnya. Hasil tanaman yang wajib
dizakatkan adalah bijirin-bijirin dari jenis makanan asasi
yang mengenyangkan dan tahan lama jika disimpan seperti padi,
kurma, jagung, gandum dan sebagainya.Contohnya, bagi
penduduk di Malaysia, makanan asasinya adalah nasi dan nasi
dihasilkan daripada padi. Maka zakat pertanian yang sesuai
dikeluarkan bagi negara Malaysia adalah zakat padi.
DALIL ZAKAT PERTANIAN
Firman Allah SWT bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! belanjakanlah (pada
jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang
bai-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan
dari bumi untuk kamu...."
(Surah Al-Baqarah:267)
SYARAT WAJIB ZAKAT PERTANIAN
1. Islam
2. Sempurna milik
3. Merdeka
4. Cukup Nisab - * cukup sukatan iaitu 5
Ausuk bersamaan 363 gantang Malaysia)
5. Biji-bijian dan buah-buahan hendaklah
ditanam oleh manusia
* Hasil tanaman yang tidak asas seperti
kelapa, kelapa sawit, getah, lada hitam, tebu, koko dan
lain-lain buah-buahan dikenakan zakat perniagaan jika
diperniagakan
KAEDAH MENGELUARKAN ZAKAT PERTANIAN
Biji-bijian dan buah-buahan yang cukup nisabnya hendaklah
dibayar zakatnya mengikut peratus penghasilan. Kadar peratus
pembayarannya bergantung kepada cara-cara penghasilannya.
Secara ringkasnya, fatwa di negeri Selangor telah menetapkan
jumlah zakat yang wajib dibayar untuk zakat pertanian adalah
sebanyak 5% berbanding beberapa perbezaan yang perlu dibayar
sebelum ini.Contohnya, zakat padi yang perlu dikeluarkan
selepas musim menuai adalah sebanyak 5% bagi keseluruhan
hasil tanaman.
|