ZAKAT SEBAGAI BANTU LONCATAN

Cetak Artikel Ini Cetak Artikel Ini

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Ketua Unit Perhubungan Awam
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Dalam Islam, zakat adalah instrumen ekonomi dan sosial sekaligus. Ia bukan sekadar berperanan sebagai pemacu dan indikator ekonomi; tetapi sekaligus mampu menyeimbangkan keadilan social ummah. Atas premis itulah, zakat kekal berperanan sebagai elemen penting dalam kehidupan umat Islam sampai bila-bila.

Di Malaysia, kutipan zakat sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Berdasarkan statistik pada tahun 2009, di Selangor sahaja misalnya, kutipan zakat telah mencecah RM283.6 juta. Kutipan kedua tertinggi pula ialah di Wilayah Persekutuan (RM248.8 juta) diikuti kutipan di Johor sebanyak RM109.2 juta. Keseluruhan kutipan zakat di Malaysia adalah sebanyak RM1,196,871,798.60 pada tahun lalu.

Secara nalar, kutipan yang tinggi membolehkan pelbagai perancangan dilakukan untuk memperkasakan asnaf. Daripada lapan asnaf zakat itu pula, asnaf fakir dan miskin mestilah menjadi prioriti. Polisi ini sejajar dengan saranan Islam, justeru fakir dan miskin sememangnya asnaf muqaddam (awal) sebagaimana tertera di dalam ayat 60 surah at-Taubah. Di sisi amalan nabi, baginda juga mengutamakan golongan ini.

Sabda nabi: “Harta itu hijau dan manis. Sebaik-baik harta kepunyaan seorang muslim ialah yang diberikannya kepada orang miskin, anak yatim dan orang dalam perjalanan,” (sebahagian hadis riwayat Bukhari)

Dengan keutamaan inilah, asnaf fakir dan miskin mempunyai hak yang lebih keatas dana zakat. Wang dan dana zakat hendaklah diberikan keutamaan untuk membangunkan asnaf fakir dan miskin terlebih dahulu, berbanding asnaf-asnaf yang lain.

Di Malaysia, amalan zakat secara umumnya bertambah baik. Ditokok dengan usaha pemerkasaan institusi zakat, misalnya menerusi pengkorporatan institusi zakat dan juga penggubalan enakmen dan akta yang bersesuaian (contohnya akta cukai yang membenarkan rebat daripada pembayaran zakat), maka umat Islam berpeluang lebih luas untuk menjadikan zakat sebagai batu loncatan memajukan potensi umat Islam.

Dalam hal ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya telah melakukan transformasi hampir menyeluruh ke atas operasi zakat yang melibatkan aspek kutipan dan agihan. Dalam aspek kutipan, pelbagai inovasi diterokai sehingga menjadikan urusan pembayaran zakat begitu mudah akses sehingga ke hujung jari.

Dalam aspek agihan zakat pula, dua asnaf utama iaitu fakir dan miskin telah diberikan peluang seluas-luasnya untuk merubah keadaan diri mereka. Menerusi mekanisme program pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan dan penjanaan modal insan, maka para asnaf fakir dan miskin ini telah dibekalkan ‘modal’ yang cukup untuk mentransformasikan diri mereka sendiri dengan lebih efektif.

Menerusi Program Pembangunan Pendidikan misalnya, anak-anak asnaf diberikan kemudahan meluas demi memastikan mereka mampu mencipta kecemerlangan yang konsisten. Aspek pendidikan diberikan keutamaan, kerana ia menjadi aset kekal kepada asnaf.

Penjanaan dana pendidikan itu pula, meliputi aspek seperti penyediaan yuran, wang saku, kelas tambahan, penyediaan peralatan persekolahan sehinggalah kepada mengikuti pelbagai kursus motivasi dan pembelajaran. Ia bermula, seawal dari tahap pra sekolah sehinggalah ke universiti, di dalam dan luar negeri.

Untuk golongan dewasa pula, mereka turut didedahkan kepada pelbagai kursus seperti kemahiran keibubapaan dan juga kekeluargaan. Ia menjadi pemangkin untuk menggembur modal insan mereka dan memugar kembali semangat yang pudar, agar mampu menjadi ibu bapa yang berpotensi memajukan keluarga.

Solat misalnya diperelokkan, menerusi tahsinul ibadah di samping upaya mendekatkan diri kepada al-Quran menerusi tahsinul qiraah. Semua ini dilaksanakan di bawah pakej penjanaan sosial dan pembangunan insane.

Begitu juga dalam aspek penjanaan ekonomi asnaf, institusi zakat cuba sedaya mungkin menyediakan dana yang optimum. Mereka yang mempunyai kebolehan, bakat dan potensi akan digilap. Modal diberi dan perniagaan akan dipantau rapi, demi membolehkan para asnaf fakir dan miskin ini memula dan menjalankan perniagaan dengan yakin. Kini, sudah ramai mampu berdikari dan menjadi pembayar zakat pula.

Jelas, bahawa zakat adalah suatu komponen penting yang dianjurkan oleh Islam untuk membela fakir dan miskin. Namun, zakat bukanlah penyelesaian total kepada kemelut kemiskinan yang melanda. Zakat hanya berperanan sebagai pelengkap kepada usaha mereka sendiri untuk berkerja dan seterusnya mengeluarkan diri mereka daripada belenggu kemiskinan.

Oleh itu, dalam konteks semasa, bekerja dan berusaha dalam Islam adalah suatu yang fundemental. Bekerja misalnya, adalah punca kepada pendapatan, yang dengannya mampu menjadikan umat Islam dapat hidup sejahtera. Bahkan berkerja memungkinkan seseorang menjadi kaya sehingga mampu pula mengeluarkan zakat ke atas harta kekayaannya.

Pernah nabi memerintahkan seorang pemuda ansar agar berkerja dan tidak sekadar meminta-minta. Anas bin Malik r.a meriwayatkan suatu kisah yang agak panjang di antara seorang pemuda Ansar bersama Rasulullah SAW. Pemuda berkenaan telah mendatangi Rasulullah dengan tujuan mahu meminta sedikit makanan. Namun Nabi SAW tidak terus memberikannya makanan, melainkan ditanya terlebih dahulu apakah masih ada sesuatu di rumahnya, yang mungkin boleh dijual.

Lantas pemuda Ansar itu menyatakan: “ (Ya) ada, (iaitu) pakaian yang kasar, (yang) setengahnya kami pakai dan setengahnya lagi kami hamparkan, juga sebuah bekas yang kami (gunakan untuk) meminum air dengannya.”

Nabi SAW seterusnya meminta agar pemuda itu pulang dan membawakan kedua-dua barangan itu. Pemuda itu pun pulang dan kemudian datang kembali. Kemudian, Rasulullah SAW segera mengambil barang-barang itu daripada tangannya dan menawarkannya kepada sesiapa yang ada bersama mereka, seandainya mereka mahu membelinya. Lalu, seorang lelaki yang berada di situ telah membeli kedua-dua barangan itu dengan harga dua dirham.

Daripada dua dirham itu pula, nabi telah menyerahkan satu dirham kepada si pemuda untuk kegunaan keluarganya, manakala satu dirham lagi telah diminta oleh Nabi SAW agar pemuda itu membeli sebilah kapak. Rasulullah SAW berpesan: “Beli makanan satu dirham dan segera kembali (ke rumahmu) dan berikannya kepada isterimu. Dan gunakan satu dirham lagi untuk membeli kapak, dan bawakannya ke mari.”

Tidak berapa lama, orang Ansar itu kembali bertemu nabi bersama sebilah kapak. Kemudian Baginda SAW segera memasang kayu pada kapak itu (sebagai hulu) lantas menyatakan: “Ambil kapak ini, dan pergilah kamu mencari kayu, kemudian kamu jual kayu itu dan kamu datanglah lagi (menemuiku) selepas lima belas hari.”

Pemuda Ansar itu benar-benar mematuhi arahan Nabi Muhammad SAW. Diberitakan, selepas lima belas hari berlalu, dia telah datang menemui Rasulullah SAW dan pada kali ini di tangannya tergenggam sepuluh dirham hasil jualan kayunya. Dengan wang itulah, sebahagiannya dia gunakan untuk membeli pakaian dan sebahagiannya lagi untuk makanan keluarganya. Lalu sabda Nabi SAW menuntaskan: “Cara begini adalah lebih utama bagi kamu daripada meminta-minta, sebab meminta-minta itu akan meninggalkan tanda di muka kamu di akhirat nanti.” (Sayid Sabiq dalam kitabnya ‘Anasirul Quwati fil Islam)

Inilah kaedah Islam. Oleh itu, mereka yang terjebak ke dalam kancah kemiskinan sama sekali tidak boleh pasrah dan reda selama-lama dengan keadaan dirinya tanpa usaha merubah keadaan. Mereka hendaklah menjadikan bantuan zakat sebagai batu loncatan untuk merubah masa hadapan.

Sebenarnya, inilah peranan dan fungsi zakat. Amat malang jika ada fakir dan miskin yang terus-menerus menggantungkan harapan kepada bantuan zakat semata-mata. Ia adalah suatu sifat pesimis yang ditegah di dalam Islam, kerana Islam itu sendiri progresif dan pro-aktif sifatnya. Wallahua’lam.